Friday, March 09, 2012

Bahasa dan pelajar antarabangsa

Kelas petang itu masih menyentuh topik perihal bahasa. Ali si pelajar Iran itu telah pun menggugurkan subjek, tetapi kehadiran dua lagi pelajar Iran dalam kelas itu menyebabkan bahasa pengantar terpaksa bertukar kembali ke bahasa Inggeris. Apabila seorang pelajar Indonesia tergagap-gagap menjawab dalam bahasa Inggeris, Prof lantas membebel panjang. Bukan perihal pelajar tersebut yang lemah Bahasa Inggerisnya, tetapi keadaan aneh dalam persekitaran akademik di Malaysia. Ujar Prof, "jika kalian belajar di negara luar, kalian harus mempelajari bahasa ibunda di sana. Contohnya di Korea, kuliah dijalankan dalam bahasanya. Begitu juga di Jepun." 

Prof mengangkat kepalanya menoleh ke arah pelajar Iran di belakang. Wajahnya masih kurang senang lantaran terdapat pelajar Arab (kami mengkategorikan kesemua pelajar Iran, Iraq, Sudan dan seumpamanya sebagai pelajar Arab) yang membuat laporan ke pejabat, kononnya kelas beliau masih belum bermula meskipun sudah masuk minggu ketiga. Walhal sebenarnya berlaku pertukaran jadual dan mereka sendiri yang tidak hadir ke kelas. "Bagaimana dengan keadaan di Iran? Sekiranya belajar di universiti di sana, kuliah tentunya dalam bahasa Parsi?" Pelajar Iran itu mengiakan soalan yang dilontarkan oleh Prof.

"Anehnya di Malaysia, sekiranya terdapat pelajar antarabangsa, kuliah terpaksa dibuat dalam bahasa Inggeris!" Prof memandang setiap wajah kami, lalu menarik nafas panjang. "Saya benarkan kalian menjawab peperiksaan dalam bahasa Melayu. Hanya pelajar antarabangsa sahaja yang perlu menjawab dalam bahasa Inggeris."

Cepat-cepat saya mengangkat tangan dan menunjuk ke arah kumpulan pelajar dari Indonesia. "Prof, pelajar Indonesia juga perlu menjawab dalam  Bahasa Inggeris!"

"Eh, kenapa pula?" bantah seorang daripada pelajar Indonesia itu.

Saya tidak dapat menahan diri daripada tersengih lebar. "Mereka juga pelajar antarabangsa!"

Saturday, March 03, 2012

Bahasa Inggeris

Sebaik sahaja tamat video tayangan berkaitan pengurusan rekod di Malaysia dan di negara Afrika itu, kelas bertukar menjadi sesi santai. Kemudian, Prof membilang pelajar yang masih ada. Jumlahnya berkurang separuh daripada minggu lalu. Soal Prof, "di mana yang lain?"

Setiap orang memandang ke arah sekeliling dan menjawab hampir serentak, "ramai yang telah menggugurkan subjek ini."

"Di mana Ali? Adakah dia telah menggugurkan subjek juga?" Semua orang menoleh lagi dan masing-masing mengangkat bahu tanda tidak tahu. Hari itu, pelajar Iran bernama Ali itu tidak hadir. Oleh sebab kehadiran beliau seorang di kelas, Prof terpaksa mengendalikan kelas menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Pelajar asing yang lain adalah dari Indonesia, jadi mereka tidak menghadapi banyak masalah dengan bahasa. Penggunaan Bahasa Inggeris menyebabkan perbincangan di dalam kelas agak terbatas. Sebaliknya semasa Bahasa Melayu digunakan, perbincangan menjadi lebih rancak.

Usai Prof memotong nama pelajar yang telah gugur subjek, seseorang bangkit dan bertanya, "Prof, berkenaan dengan pembentangan tugasan di kelas, adakah kami perlu menggunakan Bahasa Inggeris?"

"Sekiranya ada Ali, terpaksalah menggunakan Bahasa Inggeris. Malahan, jika beliau tidak ada, saya akan membuat soalan peperiksaan dalam Bahasa Melayu!"

Pelajar lelaki yang duduk di belakang saya pantas membalas, "jika begitu, mari kita semua paksa Ali menggugurkan subjek ini!"

*Bahasa Inggeris saya sangat teruk, terutamanya bahagian perbualan. (TT_TT)

Wednesday, February 29, 2012

Terbeli buku lagi

Bunting yang digantung di sepanjang jalan menuju ke fakulti itu menarik perhatian saya. Pesta buku dan ICT di Pusanika. Tarikhnya saya semat di fikiran dengan azam untuk menjejakkan kaki ke sana. Tambahan pula baucar buku yang saya perolehi pada hujung semester lalu masih belum digunakan. Mungkin saya dapat menemui buku-buku berkaitan pelajaran saya.

Indah bunting daripada rupanya. Ianya bukanlah sebuah pesta dalam erti kata pesta sebenar. Saya kekeliruan apabila menjejakkan kaki ke aras pejabat PMUKM (oh, banyak kenangan di sini) dan menemui booth menjual komputer dan barang berkaitan. Terdapat sebuah booth yang sangat menarik perhatian, iaitu booth menjual dvd serta barangan anime (?). Syukur kerana saya tidak ternampak barangan Bleach, kerana nanti tergatal tangan membeli pula.

Belum berputus asa, saya turun setingkat ke arah kedai buku UNIKEB. Mujur tertoleh ke arah kafetaria. Rupanya bahagian 'pesta buku' itu berada di aras tersebut dengan laluan ke surau PTSL. Tidak banyak gerai yang ada namun sebahagian besar ruang dimonopoli oleh kedai buku Xcess. Kedai buku yang menjadi penganjur Big Bad Wolf yang lalu. Buku yang dipamer tidak banyak, tetapi serta-merta saya bertukar mod menjadi serigala separa lapar apabila melihat tajuk-tajuk buku yang ada.

Semenjak Big Bad Wolf pertama yang saya hadiri, saya menghadkan diri untuk membeli novel terutamanya berbahasa Inggeris. Novel Inggeris yang dibeli semakin menimbun, tetapi kebanyakkannya mempunyai penanda buku yang tidak bergerak-gerak daripada bab pertama. Oleh itu, rak novel tidak menjadi tumpuan. Sebaliknya rak buku berkulit keras menjadi pilihan.

Entah kenapa, saya lebih berminat hendak membeli buku berkulit keras seakan buku coffee table. Selain daripada fakta menarik, foto serta ilustrasi yang dimuatkan di buku-buku tersebut mengujakan untuk dibaca. Persinggahan sebentar (tidak sampai satu jam) menyebabkan saya berbelanja RM100 daripada baucar buku yang ada. Saya membeli empat buah buku iaitu Jamie's Food Revolution, World War II, The Art of War dan Let's Draw Manga : All About Fighting. Harganya tidak semurah ketika Big Bad Wolf, tetapi masih murah jika dibandingkan dengan harga asal.

Pemilihan buku bertemakan perang adalah kononnya sebagai bahan sekiranya saya mahu menulis cerita berkenaan perang. Buku Food Revolution menjadi pilihan kerana saya mengikuti kisah Jamie yang ingin membuat revolusi di sekolah di Amerika. Manakala buku melukis manga pula adalah salah sebuah buku tutorial melukis yang saya beli (tetapi melukisnya tidak juga).

Hampir sahaja terbeli buku Spiderman dan juga Peanut. Alhamdulillah, masih mampu menahan diri kerana saya masih belum membeli buku berkaitan pelajaran lagi (tetapi masih terkenang-kenang sehingga sekarang (TT_TT) )

Nampaknya buku yang dibeli semakin bertambah. Serius, buku yang disusun di atas meja tulis semakin meninggi diri. Manakala buku yang di atas kotak barang pula semakin menyukarkan saya untuk mengeluarkan barang dari kotak. Mujur buku di meja pejabat masih berada dalam kadar sederhana. Bila agaknya saya hendak membeli rak buku yang baru?

Monday, February 27, 2012

Makan

Pulang ke kampung dan mendapati ayah telah membeli set meja makan yang baru. Kata kakak, "harganya murah sahaja. Hanya RM350." Jadi, meja makan lama yang diperbuat daripada kayu yang menjadi sarang semut itu ayah letakkan di luar rumah, beserta dengan kerusi-kerusinya.

Petang itu kami menikmati teh o panas, cempedak serta keladi goreng di luar rumah. Hujan rintik-rintik yang kemudian bertukar lebat menjadikan hidangan menjadi semakin enak. Setiap orang punya cerita tersendiri, namun cerita utama tentunya perihal perjalanan ke Terengganu yang dirancang pada awal bulan hadapan. Tujuannya adalah melawat adik bongsu kami yang sedang berpantang di sana. Abang bercadang untuk menyewa di taman air Gambang. Ayah pula berulang-kali menyebut Cherating.

Kemudian, malamnya semua orang terlupa hendak menyediakan makan malam sehinggalah kakak bertanya, "eh, tidak masak nasi buat ayah?"

Saya dan adik ipar saling berpandangan. Soal saya, "hendak masak nasikah?"

Adik ipar mengangkat bahu, lantas menoleh kembali ke arah kakak. "Ada stok bihunkah?"

Apabila kakak menggelengkan kepala, saya bertanya kembali ke adik ipar, "mahu keluar dan membeli bihun?"

Ketika sedang bersiap-siap untuk keluar ke kedai, adik ipar bertanya kepada ayah, "ayah boleh makan bihun? Kami hendak ke kedai membeli bihun."

Ayah yang sedang berbual dengan anak-anak lelakinya terhenti seketika. "Boleh agaknya, tetapi bihun agak keras. Gigi ayah sudah tidak kuat lagi."

Sambil mengerutkan dahi, adik ipar bertanya lagi, "jadi, ayah mahu makan apa?"

Ayah tersengih lebar, "sate?"

Call me boss

Setelah memperkenalkan komputer pertama yang digunakan beliau dan memaklumkan asal-usul nama 'desktop computer' kepada kami serta menyalahkan penciptaan komputer personal sebagai penyebab pengguna semakin mengada-ada, beliau meneruskan dengan slaid seterusnya. Paparan di skrin tertulis, "don't call me Prof."

Slaid berikutnya tertulis pula, "don't call me Dr." Oleh sebab kelas tersebut dihadiri oleh seorang wanita Iran, Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar.

Kemudian, seseorang bertanya, "so, what should we call you sir?"

Beliau hanya tersenyum lebar sambil melabuhkan punggung di atas meja di barisan hadapan kelas. "Call me boss!"

Wednesday, February 22, 2012

Jerawat

Ia mulai naik semenjak minggu peperiksaan dan kini semester baru telah bermula, tetapi ia masih belum mahu menghilangkan diri. Halus-halus bertaburan di dahi, jerawat pasir kata orang. Sangat mengganggu kerana jemari saya tidak reti diam. Mujur sahaja belum berdarah-darah dikutil dengan kuku. Ada penyelesaiankah? Perlukah menukar jenama pencuci muka, skrub dan juga toner? Adakah berkaitan dengan peralihan angka di hadapan usia?

Monday, February 20, 2012

Rebus

Cadangnya minggu lalu tidak mahu pulang ke kampung. Maklumlah, sebelum itu telah bercuti panjang ketika cuti Maulud dan Thaipusam. Tambahan pula sudah ada perancangan lain dengan Cik Mije dan rakan-rakan, tetapi rupanya Allah telah menyusun rancangan yang lain.

Khamis lalu, adik bongsu saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Serdang. Ketika datang melawat pada malam itu, bertemu dengan ayah serta semua adik-beradik. Ketika itu ayah kelihatan tidak sihat, tetapi digagahkan juga untuk datang menjenguk. Pada waktu itu barulah saya mengetahui bahawa ayah terkena jangkitan kuman di kulitnya. Petang itu ayah baru sahaja bertemu doktor dan menerima suntikan. 

Selain suntikan, ubat makan dan ubat sapu, doktor menyarankan supaya kami merebus semua pakaian, selimut serta barang-barang ayah. Saya terpaksa membatalkan semua agenda yang telah dirancang dan pulang ke kampung.

Sabtu petang, usai agenda mengemas rumah, bersama-sama dengan adik ipar mula membuka kedai dobi. Periuk besar yang digunakan untuk merebus ketupat setiap kali hari raya kami tenggekkan di atas dapur kerang di luar rumah. Merebus air sehingga mendidih, kemudian barulah dimasukkan pakaian ayah. Pakaian, selimut, jaket dan lain-lain itu dibiarkan direbus sehingga sepuluh minit sambil kami duduk-duduk makan mempelam di pangkin. Selesai direbus, ia akan dibilas pula dengan air bancuhan dettol, lalu diperah dan dijemur. Dua kali merebus, barulah selesai semuanya.

"Nampaknya kita perlu sentiasa merebus baju-baju ayah ini sehinggalah ayah sembuh," ujar adik ipar saya.

Saya hanya menganggukkan kepala. Kemudian, kami merancang untuk aktiviti merebus seterusnya. Adik ipar yang tinggal di kampung sebelah akan datang merebus baju pada hari Rabu dan saya akan pulang pada hari Sabtu untuk rebusan seterusnya.

Malam itu ketika hari mulai lewat dan ayah hendak merebahkan diri di tilamnya, ayah bertanya, " di mana cadar tilam ayah?"

"Eh, alamak! Kami mencuci tiga-tiga cadar yang ada!" Tilam ayah yang bogel tanpa sarung itu akhirnya dilapik dengan sehelai cadar lain. 

Sambil mengepit bantal yang telah ditukar sarungnya, ayah yang semakin sihat itu bertanya lagi, "di mana selimut ayah?"

Tuesday, February 07, 2012

Hipokrit

Tengahari itu, selepas bosan menonton Tom & Jerry berulang-kali, anak saudara saya mula bergesel-gesel manja, "Cik Suri... nak main laptop!"

Sambil berpura-pura tidur, saya menggelengkan kembali. "Tidak boleh!"

Selepas beberapa kali mendapat jawapan yang sama, si kecil itu pergi dengan tidak puas hati. "Cik Suri ni, semua tidak boleh! Semua tidak boleh!"

Kemudian, apabila mereka mulai mengganggu ayah yang sedang tidur tengahari, akhirnya saya mengalah jua. "Jika hendak bermain dengan laptop, kutip semua mainan dan sampah yang bersepah!" Sekelip mata sahaja ruang hadapan televisyen yang penuh dengan sampah-sarap itu bersih dan kemas.

Ketika saya muncul dengan komputer riba saya, anak kecil itu kembali bermanja dengan saya. "Ika suka Cik Suri!" ujarnya tanpa segan-silu. Ceh, hipokrit!